i@UTeM
UTeM Mail
Friday, 09 June 2023

Pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil inisiatif menawarkan khidmat nasihat bagi pengisian UPU online kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma dan setaraf bagi melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
 
Pengarah Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC), Datin Wira Ts Nurazlina Md Sanusi berkata, para pelajar dan lepasan SPM, STPM, Diploma dan setaraf berpeluang berjumpa dengan pihak UTeM dan berkomunikasi secara langsung bagi mendapatkan panduan dan kaedah pengisian UPU online.
 
Jelasnya, ini akan memudahkan mereka membuat pemilihan kursus atau program pengajian yang sesuai untuk mereka sambung di peringkat yang lebih tinggi samada di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda.
 
Ujarnya, program ini juga turut akan memberikan kefahaman kepada para pelajar mengenai peranan UTeM dalam memperkasakan pengajian teknikal dan TVET dalam agenda Pendidikan Tinggi Negara.
 
“Ianya juga akan mewujudkan jalinan hubungan yang lebih erat antara pihak UTeM dengan para pelajar secara langsung sekaligus mereka dapat menikmati kelebihan dan impak langsung UTeM di sini,” ujarnya lagi dalam kenyataannya pada hari ini.
 
Program ini akan diadakan di Mydin Pulau Sebang dan Mydin Jasin pada 17 hingga 19 Jun 2022 manakala di Mydin MITC, Ayer Keroh pada 24 hingga 26 Jun 2022, justeru para pelajar dan ibu bapa bolehlah datang beramai-ramai mendapatkan khidmat nasihat bagi melanjutkan pengajian.

Sempena Minggu TVET Negara, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan Konvensyen Keusahawan Teknikal Wanita (WTC) 2022 bertemakan “Usahawan Teknikal Wanita: Penjana Kemakmuran”.
 
WTC yang julung kali diadakan ini akan berlangsung selama 2 hari ini akan berlangsung pada 15 dan 16 Jun 2022 bertempat di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal Melaka dan masuk adalah percuma dan tiada sebarang bayaran penyertaan dikenakan.
 
Pengarah Program WTC 2022, Ts Dr Suriati Akmal berkata, program ini menjadi wadah kepada para wanita mendapat pendedahan bagaimana menceburi bidang keusahawan teknikal daripada pakar dalam bidang ini dan WTC ini julung kali diadakan yang mana UTeM menjadi pelopor bidang keusahawanan teknikal.
 
Jelasnya, menerusi program ini kaum wanita akan terdorong untuk mula berminat menjadi usahawan teknikal yang bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi keluarga dan negara malahan turut menyumbang kepada kebajikan, kesejahteraan dan kemakmuran negara dengan sentuhan kasih sayangnya.
 
Ujarnya, antara pengisian program adalah bengkel latihan keusahawanan Women DNA bersama INSKEN, bengkel tatarias diri Women of Wisdom bersama i-LEAD, forum meja bulat, ekspo pameran keusahawan dan inovasi dan karnival serta aktiviti keusahawan.
 
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin mengalu-alukan kehadiran kaum wanita di luar sana dari seluruh negeri Melaka khususnya dan Malaysia amnya ke UTeM untuk menyertai program berimpak dan berprestij tinggi ini.
 
Katanya, UTeM selaku institusi kecemerlangan ilmu sentiasa prihatin dan turut menjadi ejen kepada inisiatif dan mekasnime ke arah membawa pembangunan kepada seluruh kaum wanita.
 
 
Majlis perasmian penutup WTC 2022 akan disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada petang 16 Jun 2022 nanti.

Kumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya merangkul 7 pingat emas dan 3 pingat perak di 33rd International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2022) di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM mencapai kemenangan secara total 100 peratus apabila semua produk inovasi hasil kumpulan penyelidik itu merangkul 7 pingat emas dan 3 pingat perak yang membanggakan pihak universiti.
 
Katanya, UTeM menetapkan penyertaan dalam pameran itu terdiri daripada kumpulan produk inovasi yang memberikan impak langsung kepada industri dan masyarakat serta komuniti dunia.
 
“Konsep penyertaan UTeM juga mengetengahkan produk yang dapat melonjakkan keupayaan penyelidikan berimpak tinggi di samping memberikan penyelesaian kepada permasalahan semasa di peringkat industri dan komuniti dunia.
 
“Tahniah kepada semua penyelidik UTeM atas pencapaian tersebut dan semoga dengan pengiktirafan ini akan terus menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi UTeM serta memartabatkan nama UTeM di persada kebangsaan dan antarabangsa,” katanya di sini.
 
Tujuh pingat emas yang dimenangi adalah menerusi produk Dynamic Roll Instability Warning Device For Commercial Vehicles diketuai penyelidik Ir. Ts. Dr. Mohamad Hafiz Harun, Bio-Dur Packaging diketuai penyelidik Dr. Ridhwan Jumaidin, Labah Air diketuai penyelidik Ts. Mohd Idain Fahmy Rosley dan Rullzz Precision Cutter diketuai penyelidik Ts. Dr. Syahrul Azwan Sundi @ Suandi.
 
Turut meraih pingat emas, produk Cone Wedge Mechanism Based Electronic Mechanical Brake diketuai penyelidik Ts. Dr. Fauzi Ahmad, Smart Recycle Trash Bin System diketuai penyelidik Ir. Ts. Dr. Anuar Mohamed Kassim dan Smart Moine Aeration System diketuai penyelidik Dr. Mohamad Faizal Baharom.
 
Sementara itu, pingat perak pula telah dimenangi menerusi produk Remote Laboratory System For Online Learning, Ar-Ecoprenuer: Ultra Vires dan Multi-Language Document Reader (Mldr) For Visual Impairment People.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menjayakan aspirasi nasional dengan memperluaskan konsep dan memupuk minat pelajar sekolah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejurutereaan dan Matematik (STEM) secara komprehensif dan konsisten.
 
Terbaharu, UTeM menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan dengan kerjasama Makers@UTeM telah menganjurkan program STEM "Bring Forward Technology To School 2022” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nyalas, Melaka.
 
Pengarah Program, Mohammad Rafi Omar berkata, program ini dibentuk dengan formula khas bertujuan memberikan pendedahan teknologi terkini bidang kejuruteraan dalam era Revolusi Industri 4.0 kepada para pelajar tingkatan 5 terutamanya kawasan luar bandar.
 
Jelasnya, ruangan ini juga telah memberi peluang dan pengalaman menarik kepada pelajar SMK Nyalas melihat dan merasai sendiri penggunaan teknologi terkini seperti 3D printer, kit sistem internet of Thing (IOT) dan prototaip yang dibawa khas dari UTeM kepada mereka.
 
“Di samping itu, program ini juga telah berjaya memberikan gambaran jelas bidang kejuruteraan dan laluan kerjaya sebagai jurutera kepada pelajar tingkatan 5,” ujarnya lagi dalam kenyataan yang diberikan kepada pihak media, baru-baru ini.
 
Turut bersama di majlis ini adalah Penyelaras program STEM dan Hub IoT, Pusat Kolaborasi Industri dan Masyarakat (PKIM) UTeM, Dr Mohd Nazmin Maslan dan Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Nyalas, Kushairi Taib @ Kamarudin yang merasmikan penutup program ini.
 
Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pelajar SMK Nyalas yang telah berjaya menyertai pertandingan Sungai Kim Kim Clean Tech Competition yang dianjurkan oleh PKIM UTeM.
 
Mengupas lanjut program ini, Dr Nazmin Maslan menyatakan objektif program telah tercapai dengan jayanya dengan kerjasama semua pihak terlibat seperti barisan
Jurutera Pengajar FTKMP, pelatih Makers@UTeM serta sokongan daripada pihak sekolah.
 
“Program STEM ini perlu diteruskan kepada pelajar sekolah bagi memastikan pelajar holistik dan berfikiran kreatif di samping melahirkan lebih ramai pencipta teknologi berbanding pengguna teknologi,” ujarnya lagi.
 
Mengulas mengenai pengalaman dan impak program ini, pelajar tingkatan 5 SMK Nyalas, Nur Alleyah Najihah Mohd Rosli berkata, terima kasih kepada UTeM kerana telah menganjurkan program STEM yang amat menarik ini buat kami di sini.
 
Katanya lagi, program yang julung kali dianjurkan ini berkonsep informatif dan praktikal memberikan gambaran sebenar dan membantu kami dalam membuat pilihan bidang kejuruteraan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berkepakaran tinggi dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi telah terpilih sebagai perintis melaksanakan program Google Cloud Computing Foundations (GCCF) peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia (IPTA) Malaysia.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, program ini membolehkan para pelajar mempelopori Teknologi Pengkomputeran Awan (Cloud Computing) yang menjadi tren teknologi pada masa kini.
 
Ujarnya, ianya turut membuka peluang kepada pelajar menyertai program Google Career Readiness melalui trek Associate Cloud Engineer (ACE) atau trek Data Analyst.
 
Ujarnya lagi, antara kelebihan lain menerusi program ini juga para pelajar turut berpeluang menduduki peperiksaan Pensijilan Profesional Associate Cloud Engineer (ACE).
 
Program ini telah dijayakan menerusi Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) dan seramai 64 orang pelajar Diploma Teknologi Maklumat telah terpilih bagi menyahut cabaran pembelajaran program GCCF ini yang diadakan secara self paced selama 6 bulan bermula pada Oktober 2021 sehingga April 2022 lalu.
 
Ketua Jabatan Diploma FTMK merangkap Pengarah Program GCCF, Ts Dr Noraswaliza Abdullah berkata, melalui program ini pelajar berpeluang memahami pengetahuan asas yang melibatkan Infrastruktur Rangkaian, Pembelajaran Mesin dan Data Raya yang digabungkan dalam pengkomputeran awan.
 
Katanya, dengan pendekatan pembelajaran Self-paced, pelajar perlu memperuntukan masa selama 40 jam untuk memahami video, melakukan 32 praktikal makmal menggunakan platform Qwiklabs serta melengkapkan 4 Lab Challenges.
 
"Hasil akhir program ini seramai 43 pelajar telah berjaya menamatkan program dan layak memperolehi 4 Quest Badges dan 4 Skill Badges sekaligus membuktikan pelajar Diploma Teknologi Maklumat UTeM kompeten dalam bidang Pengkomputeran Awan yang menjadi tren teknologi pada masa kini,” katanya lagi.
 
Program ini merupakan inisiatif Dekan FTMK, Profesor Ts Dr Rabiah Ahmad hasil kerjasama dengan pihak Google (India) yang diwakili oleh Pengurus Programnya Isha Porwal.
 
Ianya telah dijayakan menerusi kelolaan kumpulan pensyarah FTMK yang terdiri daripada Prof Datuk Ts Dr Shahrin Shahib, Ts Dr Zulkiflee Muslim, Ts Dr Noraswaliza Abdullah dan dibantu oleh 15 pensyarah terlatih

Page 1 of 118


Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal,
Melaka, Malaysia.
Tel : +606 270 1000
Fax : +606 270 1022
Email : webmaster@utem.edu.my

Newsletter

Subscribe to UTeM newsletter. Don’t miss any news or stories.

We do not spam!